Bernafaslah dalam molekul cintaNya, semoga pekat darah yang mengalir, dapat menjadi mahar bagi melamar redhaNya. insyaAllah..Kita hanya ingin hidup mulia atau mati syahid!!! Justeru, usah walang dek jajaan dunia!
”الواجبات كثير من الأوقات “
“Kewajipan-kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada”

Yallah, Sertai Kami!!

Yallah, Sertai Kami!!

Di mana bumi dipijak

-
a.k.a ﻧﻮرﻋﻴﻦ١ﻨﺘﺷﺍر

Bismillahirrahmanirrahim...


Walau secerah manapun terik mentari yang memancar, dengan bilah-bilah cahayanya yang mengujakan, kala fajar menyinsing, malam bertandang datang.. mentari terpaksa jua akur menyembunyikan diri di balik awan. Namun, bukan bererti mentari sudah lupus dari amanat Tuhan. Bahkan mentari itu begitu teruja untuk menebarkan cahayanya bagi menggulung malam di daerah yang berlainan pula. Lalu bagaimana pula dengan manusia?
Apakah saat musim berganti, tempat diam berubah koordinasi, manusia mula lupa pada peranannya? Ayuh, kita renungkan kembali...satu kata yang dengan mudah bibir kita lafazkan suatu ketika dahulu, seperti yang difirmankan oleh Al-Khaliq:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap ruh mereka seraya berfirman; ‘Bukankah Aku Tuhanmu?’, ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi.’(Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan, ‘Sesungguhnya ketika itu kami berlengah terhadap ini,”
(Al-‘Araf:172)

Nah, berani benar makhluk yang dinamakan manusia ini! Mudah bermain dengan sumpah kesaksian dengan Penciptanya. Namun, lebih mudah pula mereka melalaikannya. Ringan mereka menyambut kesaksian itu bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Esa. Namun, kesaksian itu hanya menjadi kebohongan semata-mata, saat ruh itu mula menumpang jasad dan menghirup molekul oksigen di muka bumi ini. 

Bercerminlah pada dirimu! Adakah kejayaan dan kenikmatan yang dikau kecap sela masa ini adalah hasil usahamu semata-mata? Atau segalanya hanya mimpi tanpa izin dari Allah SWT. Berkat “kun fayakun..” walaupun, sedikit sekali masa yang kau peruntukkan untuk berkasih-kasihan dengan Dia yang sentiasa merinduimu.. Ah, manusialah makhluk yang bongkak! Sungguh, mereka benar-benar lupa pada hari Pembalasan.

Tidak kurang juga, ada yang berani mempertikai dan mempermain hukum Tuhan! Ya Allah, terasa semakin dekat benar hari yang Kau janjikan. Hari ini, manusia lebih mengejar pangkat dan harta. Tidak kira untuk urusan dunia, malah ada juga yang mencemar medan perjuangan kekasihMu Muhammad s.a.w dengan usaha yang diracun dengan harapan kepada pengiktirafan manusia. Sebesar inikah fitnah akhir zaman?

Wahai manusia, lupakah dikau pada tujuan engkau diciptakan? Apakah kau diciptakan untuk menjadi bahan bakar api neraka yang meluap-luap dengan amarahnya? Tidak! Tujuan engkau diciptakan adalah untuk menjadi penghuni-penghuni syurga.. mengecap segala kenikmatan yang tidak kan pernah tercapai dek akalmu hatta bayangnya pun! Namun, untuk menapak dalam laluan ke sana.. ada syarat yang perlu dikau penuhi agar kenikmatannya lebih kau rasai. Ya, kepuasan memperoleh nikmat setelah menempuh pelbagai cabaran di dunia. Tentu lebih indah bukan?

Lalu mengapa kau menjadi seperti lalang? Kala ujian bertandang datang..mengapa lemah kaki yang kau langkahkan? Banyak sekali engkau merintih dan meminta. Lalu kau memohon dan berjanji kepada Tuhan dengan penuh kedekatan dan pengharapan. Saat Dia menghapus air matamu, mengapa kau lupa untuk bersyukur? Malah, pendek sekali doa yang kau panjatkan. Sujudmu kian singkat.. Munajat taubatmu, kian sepi tanpa suara.

Tentu keriangan sekali iblis yang menghasutmu. Bersinar-sinar matanya kala berjaya melalaikanmu dalam menunaikan amanahmu. Bukan sebagai hamba Allah semata-mata. Tapi, dikau juga khalifah di muka bumi ini. Panji Tuhan harus terus berkibar, biar tangan bergalang ganti dicantas musuh.. seperti kisah sahabat yang bernama Jafar..

Beliau adalah pemegang panji Islam yang berjaya mendapat gelaran syuhada. Kekuatannya mempertahankan panji Islam sangat hebat sehingga di saat tangan kanannya dicantas oleh musuh, beliau menyambut panji Islam dengan tangan kirinya dan apabila tangan kirinya juga dicantas, beliau mendakap panji Islam rapat ke dadanya sehingga gugur syahid.

Lalu bagaimana pula dengan dirimu? Saat nama Islam tercalar, apakah dikau hanya berdiam tanpa kata? Hari ini, tanyakan pada dirimu. Apakah yang telah kau laburkan untuk Islam yang menjadi saham untukmu di akhirat kelak?? 

Ingatlah, di mana sahaja kakimu melangkah..amanah dari Allah SWT perlu digalas sebaiknya. Malah, amanah tersebut akan diminta pertanggungjawaban di akhirat kelak.

allahu'alam..

Leave a Reply