Bernafaslah dalam molekul cintaNya, semoga pekat darah yang mengalir, dapat menjadi mahar bagi melamar redhaNya. insyaAllah..Kita hanya ingin hidup mulia atau mati syahid!!! Justeru, usah walang dek jajaan dunia!
”الواجبات كثير من الأوقات “
“Kewajipan-kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada”

Yallah, Sertai Kami!!

Yallah, Sertai Kami!!

luruskan dan rapatkan saf

-
a.k.a ﻧﻮرﻋﻴﻦ١ﻨﺘﺷﺍر

Bismillahirrahmanirrahim



Realiti umat Masa Kini

Biarpun mencatat jumlah yang hampir menjangkau 1.7 bilion daripada  lebih 6.5 bilion penduduk dunia, namun umat Islam masih lagi tidak mampu membina kekuatan untuk mengembalikan kegemilangan yang dahulunya menjadi milik umat Islam. Ibarat telah patah segala sendi, kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah menjadi titik mula episod duka bagi umat Islam untuk kembali memonopoli segala kuasa baik dari aspek ekonomi, pendidikan, pembangunan, teknologi dan sebagainya sehingga meletakkan umat Islam di posisi yang tercorot di dunia.

Hakikatnya, kelemahan ini berlaku disebabkan permasalahan dalaman yang menjadi virus dalam diri seorang umat. Sejarah telah membuktikan, bagaimana umat Islam sebenarnya mampu bangkit dan membina kekuatan yang luar biasa dengan penyatuan akidah bersandarkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Jika tidak, masakan para pejuang Badar yang jumlahnya hanya 313 orang, mampu menewaskan 1000 orang bala tentera kuffar yang dibantu kecanggihan senjata ketika itu. Semuanya tidak mustahil dengan permuafakatan yang luar biasa, hanya semata-mata bagi memerangi kezaliman.

Berbeza dengan fenomena di Malaysia pada era ini. Andai diimbau sejarah pahit perjuangan Tok Janggut, Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Abdul Rahman Limbong dan sebagainya, bagaimana susuk manusia yang hebat ini mampu berdiri atas dasar semangat bangsa dan agama bagi menentang penjajahan Barat. Kebiadapan Barat yang cuba mencalari norma kehidupan seorang Melayu Islam sehingga menyentuh perihal institusi Beraja, dilihat sebagai pencetus untuk membakar semangat kebangkitan sehingga pejuang-pejuang nasionalisme ini dilabel sebagai pengganas dan dikecam oleh Barat. Malah, perjuangan mereka membawa kepada kesyahidan demi membela agama dan bangsa.





Dewasa ini, siapakah yang berani mengaum seperti singa dalam mendepani isu gugatan dan kesejahteraan umat ini? Umat semakin jinak dan begitu mudah dijinakkan dengan permainan musuh-musuh Islam. Sekiranya suatu masa dahulu, isu kedaulatan agama Islam sebagai agama persekutuan dan kedudukan istimewa bangsa Melayu sebagai penduduk peribumi, hanya menjadi sorotan perbualan di kedai-kedai kopi dalam kalangan penentang-penentang Islam. Berbeza kini, mereka telah berani menyuarakan tentangan secara terbuka dengan memanipulasi undang-undang serta menggunakan tiket kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang menjadi rencana Barat yang baharu.

Nah, seandainya hal ini berterusan dan kesefahaman tidak dapat dibina terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu Islam, fikirkan nasib generasi akan datang. Mungkinkah tanah air Malaysia ini, ada walau seinci tanah untuk anak cucu kita menumpang jika pemerintahnya bukan dalam kalangan kita. Sedangkan telah jelas kita melihat percaturan musuh-musuh Islam yang cuba menggulingkan dan memecah belahkan permuafakatan sesama agama dan bangsa ini.



 


“Sungguh akan kalian dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang yang mempersekutukan Allah (musyrik).” (QS. al-Maa’idah [5]: 82).




Tidak kurang juga, masyarakat kita telah sewenang-wenangnya menjadi percaturan Barat di atas pentas kemajuan dan permodenan. Muncullah pula istilah dan fahaman liberalisme, pluralisme, sekularisme dan sebagainya. Fahaman yang masuk seperti gas beracun ini tidak dapat dihidu oleh masyarakat yang lena! Buktinya, sejauh mana masyarakat Malaysia mengetahui tentang kewujudan persatuan-persatuan gay, lesbian, anti-agama, Melayu murtad, Islam liberal dan sebagainya yang hakikatnya jauh dari ajaran Islam dan merosakkan norma dan nilai keTimuran masyarakat di Malaysia. 


Interfaith Council (IFC) dengan penuh berani telah mengemukakan 14 tuntutan yang sewajarnya membangkitkan kemarahan umat Islam yang sensitif. Antara tuntutan yang utama termasuklah kebebasan untuk keluar masuk agama, perkataan “Islam” harus digugurkan daripada menjadi maklumat pada pengenalan, kebebasan untuk menganut agama asal walaupun berkahwin dengan orang Islam, setiap bayi yang lahir dalam keluarga Islam tidak seharusnya menjadi Islam secara automatik, kebebasan mengedarkan ‘bible’ yang ditulis dalam bahasa Indonesia dan banyak lagi tuntutan yang jelas menggugat kesucian agama Islam dan cuba memprovokasi kedaulatan agama ini. 

Ogos 2011 yang lalu antara peristiwa yang besar yang memperlihatkan kecaman terhadap umat Islam di Malaysia semakin rencam. Tindakan JAIS yang menyerbu sebuah premis Damansara Utama Methoist Church (DUMC), yang jelas cuba untuk memesongkan aqidah 12 orang Melayu Islam yang menghadiri majlis tersebut, dipersoal. Bagaimanakah nasib mereka yang 5 daripadanya adalah kanak-kanak seandainya pihak JAIS tidak mengambil berat isu ini? Realitinya, gerakan kristianisasi ini kian berleluasa. Mengambil ksempatan atas kesusahan dan kesempitan umat Islam untuk memancing mereka untuk meninggalkan agama yang diredhai Allah ini, dan masuk ke dalam perangkap agama mereka. Kedudukan umat Melayu Islam benar-benar dihenyak dan dipijak sehingga terlalu mudah diperkotak-katikkan.

Umat islam di Malaysia benar-benar menjadi mangsa yang musaiyasah (dicaturkan) sehingga menjadi pengikut di buminya sendiri. Perbezaan fahaman politik menjadi kesempatan yang terhidang buat musuh-musuh Islam untuk melaga-lagakan kaum serumpun yang menjadi pemilik asal tanah ini, yang dahulunya bersatu untuk mencapai kemerdekaan atas kesepakatan aqidah dan bangsa.


Virus Persengketaan

Saudaraku,

Perpecahan yang berlaku antara umat Islam ibarat virus yang kian membarah. Sememangnya perbezaan pendapat itu adalah wajar terutamanya yang melibatkan isu-isu teknikal. Walau bagaimanapun, percanggahan berkenaan perkara yang asas nerupakan sesuatu yang harus dikhuatiri. Tambahan pula apabila hal tersebut mengakibatkan perbalahan, caci mnencaci dan sebagainya yang merosakkan keharmonian umat sejagat.

Persengketaan yang berlaku ibarat medium pelaris untuk sesetengah kelompok media. Masyarakat seharusnya bijak menapis kenyataan yang digembar-gemburkan oleh media, sebelum menerimanya bulat-bulat. Kita juga perlu bersikap matang dan rasional dalam menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Perpecahan yang berlaku disebabkan ketidaksefahaman ini, hanya akan memudaratkan kedudukan masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Dalam negara yang demokrasi ini, suara majoritilah yang akan memimpin. Disebabkan kaum yang hakikatnya majorti ini terpecah-pecah, maka dengan tidak semena-menanya kita menjadi suara yang minoriti. Jika dianalisis kedudukan dan kekuatan kaum Melayu dalam sistem politik, tiada jaminan untuk kita kekal memerintah di negara sendiri. Hal ini mustahil selagimana perpecahan dan perbalahan antara ‘keluarga Melayu Islam’ ini berpanjangan.


Ke arah persepakatan ummah

Melayu dan Islam merupakan sesuatu yang sinonim malah saling bersimbiosis di bumi bertuah ini. Inilah identiti yang dicorakkan dalam pembentukan ketamadunan bangsa di tanah ini. Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, Melayu membawa takrifan yang berikut:

i.                     Beragama Islam
ii.                   Bertutur dengan menggunakan bahasa Melayu
iii.                  Mengamalkan adat resam dan budaya Melayu dalam kehidupan

Bagi memperjuangkan kedudukan agama Islam di bumi bertuah ini, kekuatan bangsa Melayu sebagai kaum yang majoriti dilihat sebagai wasilah yang terbaik untuk merealisasikannya. Kekuatan hubungan antara bangsa Melayu dan agama Islam haruslah menjadi satu titik persepakatan antara kita untuk kembali memartabatkan agama Allah SWT yang telah dicabuli kesuciannya ini. Jika bukan kita, siapa? Jika bukan sekarang, bila? Permuafakatan dan “assobiyah” sesama masyarakat Melayu Islam mampu menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini sejajar dengan pendapat Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-Muqaddimah yang menyatakan bahawa “assobiyyah” tidak salah dalam Islam sekiranya hal ini dilakukan dengan tujuan yang benar. Hal ini sejajar dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:




 “Bukan daripada kalangan ummatku mereka yang menyeru ke arah berpuak-puak, yakni assobiyyah. Maka seorang sahabat bertanya tentang assobiyyah yang bagimana Ya Rasulullah? Lalu Rasulullah menjawab: Assobiyyah di mana kamu saling menolong dalam kezaliman”



Menyoroti kehebatan dan kegemilangan zaman Empayar Melayu Melaka dahulu, kekuatan bangsa Melayu pada hari itu hakikatnya disebabkan pegangan dan ketaatan kepada pemimpin yang dinaungi payung khalifah Islam. Seandainya negara ini dibangunkan dengan falsafah Liberal Barat yang meletakkan manusia sebagai matlamat, seharusnya kita khuatir akan pembentukan bangsa yang bakal terhasil kelak yang akan hilang dan cair identiti Melayu Islamnya. 

“Bersatu teguh, bercerai roboh”. Pepatah ini harus dijadikan iktibar dan muhasabah buat kita dalam merencana agenda agama dan bangsa di tanah tumpah darah kita ini. Kesatuan masyarakat Melayu Islam pasti dapat membina kekuatan yang luar biasa sehingga menggerunkan pihak musuh yang cuba meranapkan permuafakatan yang selama ini terjalin antara kita. Sewajarnya, sebagai seorang Muslim kita harus menilai dan menetukan sikap dan kebenaran sesuatu isu berlandaskan syara’. Perpecahan sesama kita hanyalah merugikan pihak kita sendiri, malah hanya menguntungkan pihak musuh. Ketika kita bermasam muka dan saling mencemuh, musuh-musuh Islam tertawa dan bersorak-sorai dengan kehancuran persepakatan ini.

Perbezaan fahaman politik tidak harus mempunyai pertikaian berhubung perkara asas khususnya berkaitan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Bersatulah demi kesejahteraan ummah. Kekuatan tidak akan lahir dari umat yang berpecah-belah. Kita harus mempunyai agenda yang disepakati atau kita akan terperangkap dengan agenda musuh-musuh Islam yang bersimpang siur. 


"Melayu Sepakat, Islam Berdaulat" 




Ditulis untuk Ikatan Muslimin Malaysia, Kuala Lumpur

***************************************

Setujukah kalian jika  saya katakan, apabila UMNO dan PAS bersatu, kekuatan Islam dapat dibina di Malaysia? Fikir-fikirkan..Allahua'lam









Leave a Reply