Bismillahirrahmanirrahim...
Diseluk-seluk poketnya. Berkali-kali. Sekejap-sekejap dia
cuba mengingat. Dilurutnya sekali lagi poket seluarnya untuk mendapatkan
kepastian. Depan dan belakang. Hampir tidak keruan. Sahih! Dompetnya tiada!
Seingatnya dia memang memasukkannya ke dalam poket belakang seluarnya pagi
tadi. “Innalillah.. habislah… mesti ada penyeluk saku yang sudah berpagi dengan
‘amal mencuri’ sewaktu bersesak-sesak dalam KTM tadi,”fikir Athif sendiri.
Berkali-kali
dia beristighfar sendiri. Perutnya sudah
mula berkeroncong. Irama tradisional mungkin. Mentari dhuha menambah rasa haus
di tekaknya. Tambahan pula, dia belum sempat bersarapan sebelum keluar untuk
‘memborong’ di Pesta Buku nanti. Musnah harapannya untuk mendapatkan buku-buku
yang telah lama ‘digilai’nya.
Dia duduk sebentar di laluan berbumbung
berdekatan. Melihat jam di tangan. Pukul 10.00 pagi.Kini tangannya beralih ke saku kemejanya. Ada senyuman terukir
di bibirnya. Kalau dapat ‘pekena’ teh tarik ni pun kira ‘okey’lah. Diusap perutnya
yang sekali lagi memberi isyarat protes.
Dikeluarkan dua keping not biru dari
sakunya. “Alamak, seringgit..seringgit..dua ringgit je,”dengusnya kesal. Cukup-cukup
buat tambang untuk dia pulang. Dibatalkan hasratnya untuk mengisi kelongsong
perutnya yang asyik membentak. Mungkin kurang didikan dengan puasa. Barangkali…
Walau bagaimanapun, hatinya tidak mahu terus pulang. Rasa
marah dan sesal atas kehilangan dompetnya tadi masih belum reda. Iyalah, redha
dan sabar itu bukan boleh dipetik lalu dijamah, kemudian nah, langsung menjadi
sabar! Dia perlukan masa untuk menerima ujian ini dengan redha. Mengikhlasi
kepayahan yang Allah berikan.
Dia berjalan menyelusur keluar laluan berbumbung
di KTM Serdang itu. Ingin mengambil angin sambil melihat tingkah laku masyarakat
kota. Menyesal pula dia kerana tidak membawa kamera DLSRnya. Jika tidak, dapat
juga dia melaksnakan misi hobinya.
Peluh mula memercik dingin di dahinya. Lengan kemejanya
dilekap ke dahi untuk mengelap peluh. Marahnya belum reda. Dia bersandar pada sebatang
tiang. Fikirannya menerawang. Masih memikirkan betapa cekap umat manusia masa
kini melakukan jenayah tanpa sedar. Tapi soal ibadah, banyak pula karenahnya.
Matanya kemudian tetancap pada susuk seorang lelaki tua di hujung lorong.
Wajahnya bungkam. Tangannya terketar-ketar ibarat berada di musim dingin di
kutub utara.
Dalam ketar, tangannya menadah sebuah cawan plastik.
Mengharap ada tangan yang sudi mengisi sesuatu yang bernilai ke dalamnya. Garis
tua benar-benar kelihatan di setiap inci wajahnya yang melebihi separuh abad
pada jangkaan Athif. Bajunya kusut masai. Tidak terurus. Di sebuah negara yang
dikatakan sedang membangun, mengapa masih ada golongan yang fakir sehingga
harus meminta-minta? Huh, bingung jika terus difikir.
Semakin ramai manusia
yang berkepuk poketnya, semakin ramai pula golongan yang perlu menagih simpati
untuk sesuap nasi? Malah, ramai pula yang dilaporkan mengalami masalah
kesihatan disebabkan makan terlalu banyak. Bala apakah ini yang menyerang nafsu
makan manusia sampai terlupa ramai yang masih lapar di luar sana?
Dia mengeluarkan kembali dua keping wang seringgit dari kocek
kemejanya. Diam seketika. Lama ditenung wang pada tangannya. Ada sesuatu yang
mengganggu fikirannya saat ini. Kemudian, dia melangkah agak kalut. Matanya
meliar sebelum langkahnya bertambah laju menuju ke satu tempat. Dua keping RM1,
bertukar tangan. Dia kembali menuju ke arah si tua yang masih mengharap tadi.
Kelihatan seorang wanita mengeluarkan syiling dari beg tangannya dan
memasukkanya ke dalam cawan lelaki tua itu. Lelaki tua itu tunduk penuh hormat.
Athif tersenyum sendiri. “Alahai syiling, beruntunglah engkau yang selalu setia
menemani nasib si fakir. Kapan masanya si wang kertas bakal mengikuti
langkahmu?” getus hati kecilnya. Dia lantas mendekati lelaki tua itu setelah
wanita tadi berlalu.
Direndahkan tubuhnya, sedikit mencangkung, betul-betul di
hadapan si tua itu. Dipegangnya tangan si tua itu yang amat dirasai oleh deria
sentuhnya akan jalur kasar usia si tua itu. Sebuah bungkusan diserahkan kepada
si tua. Sebungkus nasi lemak dengan modal RM1.20 dan secawan air mineral
berharga RM0.80. Hatinya bagai ditusuk duri berbisa. Terkenang wajah ayahanda
yang hampir seusia di kampung halaman. Allahuakbar..
“Pak Cik, saya belikan
nasi. Pak Cik makan ya,”pujuk Athif. Wajah lelaki tua itu mula memancar.
Tangannya rakus membuka bungkusan lantas Athif membantu. Ketika itu barulah dia
sedar bahawa si tua itu juga buta. “Sungguh, mulianya dirimu seandainya dirimu sabar
wahai saudaraku. Tambah beruntungnya dirimu yang diselamatkan olehNya daripada
melihat dosa penduduk-penduduk dunia yang ‘gila’ dalam sedar. Aku sendiri,
entah berapa banyak dosa yang telah kulihat sedang tangan dan mulutku kukunci
rapat dengan keengganan untuk amar ma’ruf dan nahi mungkar.. Ya Allah,
ampunilah dosa-dosaku..,”Athif bermonolog sendirian. Hampir rasa sebak menuntut
air matanya akur dengan hukum graviti bumi. Namun disekanya awal. Dia tidak
mahu untuk terus merenung lelaki tua itu. Dia mencucukkan straw pada permukaan
plastik pada cawan air mineral yang dibelinya tadi sebelum berlalu pergi.
Dalam cepat dia menuju keluar dari lorong itu entah ke mana.
Belum difikirnya lagi kerana wang untuk pulang sudah habis dia belanjakan. Hendak
didail nombor teman serumahnya Fikri, dia pulang ke kampung. Mungkin nanti
setelah perasaannya mula tenang, dia akan menelefon seseorang. Ketika itulah
dia terserempak dengan rakannya, Aiman. Ya Allah, betapa rasa syukur itu ibarat
menghujani sanubarinya. Dia menceritakan tentang musibah yang menimpanya tetapi
merahsiakan tentang pemberiannya kepada lelaki tua tadi. “Jomlah, aku belanja
kau makan, nanti kita sembang lagi panjang,” pelawa Aiman.
Alhamdulillah, tidak
tergambar rasa syukur di hati Athif saat itu. Berbekalkan hanya RM2, Allah
mengirimkan kepadanya bantuan yang luar biasa. Yang tidak pernah mampu dihitung
dan diramal oleh sehebat-hebat manusia yang dinobatkan hatta sebagai seorang
Emiritus!
Sekeping, sekeping RM1. Sampailah engkau ke langit ke tujuh.
Sampaikan salamku kepada malaikatNya. AllahuAllah..
********************************************************
Subhanallah, saya meyakini bahawa rakyat Malaysia boleh
dikategorikan sebagai masyarakat yang pemurah. Tidak lokek memberi. Di sana sini,
suasana bersedekah masih lagi hidup. Alhamdulillah.. Namun, ayuh kita renungkan
sejenak, berapa ramai yang tetap sedia menghulur walaupun dalam payah? Berapa
ramai yang memilih nilai yang paling kecil untuk dijana sebagai pahala sedekah?
Dan berapa ramai pula hanya ‘berkongsi’ dengan ‘lebihan’? Benar, ikhlas itu
tidak diukur pada nilai, tapi pada niat. Walau bagaimanapun, harus kita ingat
bahawa sifat ikhlas itu juga seharusnya menjadikan kita manusia yang tidak
berkira.
Mungkin hal ini pernah berlaku pada kita dalam suasana yang
berbeza. Saat seseorang memerlukan bantuan, adakah kita langsung menunaikannya
tanpa ragu. Ataupun lebih banyak yang kita soal berbanding yang kita hulur?
Mungkin kita lupa, Allah S.W.T Maha Memberi tanpa mengharap balasan walaupun
segunung dosa yang kita longgokkan sebagai ‘mahar’ permintaan.
Memberi saat diri sendiri merasa memerlukan adalah sesuatu
yang amat mendidik jiwa. Mudah-mudahan membenih rasa ikhlas untuk redha dengan
kepayahan yang ada, malah berkongsi rasa perlu, dengan mendahulukan mereka yang
lebih perlu. Sesungguhnya, kemenangan yang amat besar bagi seseorang mukmin
andai hal ini dapat dilakukan. Kebergantungan dan meletak harap pada Allah
S.W.T semata-mata. Melakukan amal ibadah semata-mata bagi mendapat keredhaan
Allah S.W.T. Seperti mana sifat-sifat mahmudah yang lain, sifat ini tidak
terbungkus sebagai hadiah kepada semua manusia. Adakala, sifat ini menembusi
nurani setelah melalui proses didikan.
Justeru, ikhlaskanlah pula kedua telapak
tangan untuk meminta kepadaNya agar digolongkan sebagai hamba-hambaNya yang mukhlisin.
Tiap kali kebaikan yang kita lakukan, mohonlah keampunan daripada Allah. Usah
takut berbuat kebaikan kerana mulut-mulut dan mata-mata manusia yang sedikit
pun tidak menggandakan pahala amal kita. Ayuh, berbuatlah dengan perasaan
khuatir andai amal tidak diterima Allah.
Firman
Allah S.W.T:
"Apakah mereka yang membagi-bagi
rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam
kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian
yang lain beberapa derajat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan
sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka
kumpulkan." [Al-Zukhruf 43:32]
Moga Allah redha