Bernafaslah dalam molekul cintaNya, semoga pekat darah yang mengalir, dapat menjadi mahar bagi melamar redhaNya. insyaAllah..Kita hanya ingin hidup mulia atau mati syahid!!! Justeru, usah walang dek jajaan dunia!
”الواجبات كثير من الأوقات “
“Kewajipan-kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada”

Yallah, Sertai Kami!!

Yallah, Sertai Kami!!

Seringgit, seringgit

-
a.k.a ﻧﻮرﻋﻴﻦ١ﻨﺘﺷﺍر


Bismillahirrahmanirrahim...












Diseluk-seluk poketnya. Berkali-kali. Sekejap-sekejap dia cuba mengingat. Dilurutnya sekali lagi poket seluarnya untuk mendapatkan kepastian. Depan dan belakang. Hampir tidak keruan. Sahih! Dompetnya tiada! Seingatnya dia memang memasukkannya ke dalam poket belakang seluarnya pagi tadi. “Innalillah.. habislah… mesti ada penyeluk saku yang sudah berpagi dengan ‘amal mencuri’ sewaktu bersesak-sesak dalam KTM tadi,”fikir Athif sendiri. 

Berkali-kali dia beristighfar sendiri.  Perutnya sudah mula berkeroncong. Irama tradisional mungkin. Mentari dhuha menambah rasa haus di tekaknya. Tambahan pula, dia belum sempat bersarapan sebelum keluar untuk ‘memborong’ di Pesta Buku nanti. Musnah harapannya untuk mendapatkan buku-buku yang telah lama ‘digilai’nya. 

Dia duduk sebentar di laluan berbumbung berdekatan. Melihat jam di tangan. Pukul 10.00 pagi.Kini tangannya beralih ke saku kemejanya. Ada senyuman terukir di bibirnya. Kalau dapat ‘pekena’ teh tarik ni pun kira ‘okey’lah. Diusap perutnya yang sekali lagi memberi isyarat protes. 

Dikeluarkan dua keping not biru dari sakunya. “Alamak, seringgit..seringgit..dua ringgit je,”dengusnya kesal. Cukup-cukup buat tambang untuk dia pulang. Dibatalkan hasratnya untuk mengisi kelongsong perutnya yang asyik membentak. Mungkin kurang didikan dengan puasa. Barangkali…




Walau bagaimanapun, hatinya tidak mahu terus pulang. Rasa marah dan sesal atas kehilangan dompetnya tadi masih belum reda. Iyalah, redha dan sabar itu bukan boleh dipetik lalu dijamah, kemudian nah, langsung menjadi sabar! Dia perlukan masa untuk menerima ujian ini dengan redha. Mengikhlasi kepayahan yang Allah berikan. 

Dia berjalan menyelusur keluar laluan berbumbung di KTM Serdang itu. Ingin mengambil angin sambil melihat tingkah laku masyarakat kota. Menyesal pula dia kerana tidak membawa kamera DLSRnya. Jika tidak, dapat juga dia melaksnakan misi hobinya.


Peluh mula memercik dingin di dahinya. Lengan kemejanya dilekap ke dahi untuk mengelap peluh. Marahnya belum reda. Dia bersandar pada sebatang tiang. Fikirannya menerawang. Masih memikirkan betapa cekap umat manusia masa kini melakukan jenayah tanpa sedar. Tapi soal ibadah, banyak pula karenahnya. Matanya kemudian tetancap pada susuk seorang lelaki tua di hujung lorong. Wajahnya bungkam. Tangannya terketar-ketar ibarat berada di musim dingin di kutub utara.




Dalam ketar, tangannya menadah sebuah cawan plastik. Mengharap ada tangan yang sudi mengisi sesuatu yang bernilai ke dalamnya. Garis tua benar-benar kelihatan di setiap inci wajahnya yang melebihi separuh abad pada jangkaan Athif. Bajunya kusut masai. Tidak terurus. Di sebuah negara yang dikatakan sedang membangun, mengapa masih ada golongan yang fakir sehingga harus meminta-minta? Huh, bingung jika terus difikir. 



Semakin ramai manusia yang berkepuk poketnya, semakin ramai pula golongan yang perlu menagih simpati untuk sesuap nasi? Malah, ramai pula yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan disebabkan makan terlalu banyak. Bala apakah ini yang menyerang nafsu makan manusia sampai terlupa ramai yang masih lapar di luar sana?





 Dia mengeluarkan kembali dua keping wang seringgit dari kocek kemejanya. Diam seketika. Lama ditenung wang pada tangannya. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya saat ini. Kemudian, dia melangkah agak kalut. Matanya meliar sebelum langkahnya bertambah laju menuju ke satu tempat. Dua keping RM1, bertukar tangan. Dia kembali menuju ke arah si tua yang masih mengharap tadi. Kelihatan seorang wanita mengeluarkan syiling dari beg tangannya dan memasukkanya ke dalam cawan lelaki tua itu. Lelaki tua itu tunduk penuh hormat. Athif tersenyum sendiri. “Alahai syiling, beruntunglah engkau yang selalu setia menemani nasib si fakir. Kapan masanya si wang kertas bakal mengikuti langkahmu?” getus hati kecilnya. Dia lantas mendekati lelaki tua itu setelah wanita tadi berlalu.


Direndahkan tubuhnya, sedikit mencangkung, betul-betul di hadapan si tua itu. Dipegangnya tangan si tua itu yang amat dirasai oleh deria sentuhnya akan jalur kasar usia si tua itu. Sebuah bungkusan diserahkan kepada si tua. Sebungkus nasi lemak dengan modal RM1.20 dan secawan air mineral berharga RM0.80. Hatinya bagai ditusuk duri berbisa. Terkenang wajah ayahanda yang hampir seusia di kampung halaman. Allahuakbar..


“Pak Cik, saya belikan nasi. Pak Cik makan ya,”pujuk Athif. Wajah lelaki tua itu mula memancar. Tangannya rakus membuka bungkusan lantas Athif membantu. Ketika itu barulah dia sedar bahawa si tua itu juga buta. “Sungguh, mulianya dirimu seandainya dirimu sabar wahai saudaraku. Tambah beruntungnya dirimu yang diselamatkan olehNya daripada melihat dosa penduduk-penduduk dunia yang ‘gila’ dalam sedar. Aku sendiri, entah berapa banyak dosa yang telah kulihat sedang tangan dan mulutku kukunci rapat dengan keengganan untuk amar ma’ruf dan nahi mungkar.. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku..,”Athif bermonolog sendirian. Hampir rasa sebak menuntut air matanya akur dengan hukum graviti bumi. Namun disekanya awal. Dia tidak mahu untuk terus merenung lelaki tua itu. Dia mencucukkan straw pada permukaan plastik pada cawan air mineral yang dibelinya tadi sebelum berlalu pergi.




Dalam cepat dia menuju keluar dari lorong itu entah ke mana. Belum difikirnya lagi kerana wang untuk pulang sudah habis dia belanjakan. Hendak didail nombor teman serumahnya Fikri, dia pulang ke kampung. Mungkin nanti setelah perasaannya mula tenang, dia akan menelefon seseorang. Ketika itulah dia terserempak dengan rakannya, Aiman. Ya Allah, betapa rasa syukur itu ibarat menghujani sanubarinya. Dia menceritakan tentang musibah yang menimpanya tetapi merahsiakan tentang pemberiannya kepada lelaki tua tadi. “Jomlah, aku belanja kau makan, nanti kita sembang lagi panjang,” pelawa Aiman. 

Alhamdulillah, tidak tergambar rasa syukur di hati Athif saat itu. Berbekalkan hanya RM2, Allah mengirimkan kepadanya bantuan yang luar biasa. Yang tidak pernah mampu dihitung dan diramal oleh sehebat-hebat manusia yang dinobatkan hatta sebagai seorang Emiritus! 



Sekeping, sekeping RM1. Sampailah engkau ke langit ke tujuh. Sampaikan salamku kepada malaikatNya. AllahuAllah..



********************************************************


Subhanallah, saya meyakini bahawa rakyat Malaysia boleh dikategorikan sebagai masyarakat yang pemurah. Tidak lokek memberi. Di sana sini, suasana bersedekah masih lagi hidup. Alhamdulillah.. Namun, ayuh kita renungkan sejenak, berapa ramai yang tetap sedia menghulur walaupun dalam payah? Berapa ramai yang memilih nilai yang paling kecil untuk dijana sebagai pahala sedekah? Dan berapa ramai pula hanya ‘berkongsi’ dengan ‘lebihan’? Benar, ikhlas itu tidak diukur pada nilai, tapi pada niat. Walau bagaimanapun, harus kita ingat bahawa sifat ikhlas itu juga seharusnya menjadikan kita manusia yang tidak berkira.


Mungkin hal ini pernah berlaku pada kita dalam suasana yang berbeza. Saat seseorang memerlukan bantuan, adakah kita langsung menunaikannya tanpa ragu. Ataupun lebih banyak yang kita soal berbanding yang kita hulur? Mungkin kita lupa, Allah S.W.T Maha Memberi tanpa mengharap balasan walaupun segunung dosa yang kita longgokkan sebagai ‘mahar’ permintaan.


Memberi saat diri sendiri merasa memerlukan adalah sesuatu yang amat mendidik jiwa. Mudah-mudahan membenih rasa ikhlas untuk redha dengan kepayahan yang ada, malah berkongsi rasa perlu, dengan mendahulukan mereka yang lebih perlu. Sesungguhnya, kemenangan yang amat besar bagi seseorang mukmin andai hal ini dapat dilakukan. Kebergantungan dan meletak harap pada Allah S.W.T semata-mata. Melakukan amal ibadah semata-mata bagi mendapat keredhaan Allah S.W.T. Seperti mana sifat-sifat mahmudah yang lain, sifat ini tidak terbungkus sebagai hadiah kepada semua manusia. Adakala, sifat ini menembusi nurani setelah melalui proses didikan. 

Justeru, ikhlaskanlah pula kedua telapak tangan untuk meminta kepadaNya agar digolongkan sebagai hamba-hambaNya yang mukhlisin. Tiap kali kebaikan yang kita lakukan, mohonlah keampunan daripada Allah. Usah takut berbuat kebaikan kerana mulut-mulut dan mata-mata manusia yang sedikit pun tidak menggandakan pahala amal kita. Ayuh, berbuatlah dengan perasaan khuatir andai amal tidak diterima Allah.




Firman Allah S.W.T:


"Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa derajat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan." [Al-Zukhruf 43:32]






Ditulis untuk Majalah T-Zone PEMBINA Edisi 1
Moga Allah redha

One Response so far.

  1. Subhanallah..cukup terkesan..the more you give, the more you get. InsyaAllah.^_^

Leave a Reply