Fakir Ilallah

Bernafaslah dalam molekul cintaNya, semoga pekat darah yang mengalir, dapat menjadi mahar bagi melamar redhaNya. insyaAllah..Kita hanya ingin hidup mulia atau mati syahid!!! Justeru, usah walang dek jajaan dunia!
”الواجبات كثير من الأوقات “
“Kewajipan-kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada”

Yallah, Sertai Kami!!

Yallah, Sertai Kami!!

Seringgit, seringgit


Bismillahirrahmanirrahim...












Diseluk-seluk poketnya. Berkali-kali. Sekejap-sekejap dia cuba mengingat. Dilurutnya sekali lagi poket seluarnya untuk mendapatkan kepastian. Depan dan belakang. Hampir tidak keruan. Sahih! Dompetnya tiada! Seingatnya dia memang memasukkannya ke dalam poket belakang seluarnya pagi tadi. “Innalillah.. habislah… mesti ada penyeluk saku yang sudah berpagi dengan ‘amal mencuri’ sewaktu bersesak-sesak dalam KTM tadi,”fikir Athif sendiri. 

Berkali-kali dia beristighfar sendiri.  Perutnya sudah mula berkeroncong. Irama tradisional mungkin. Mentari dhuha menambah rasa haus di tekaknya. Tambahan pula, dia belum sempat bersarapan sebelum keluar untuk ‘memborong’ di Pesta Buku nanti. Musnah harapannya untuk mendapatkan buku-buku yang telah lama ‘digilai’nya. 

Dia duduk sebentar di laluan berbumbung berdekatan. Melihat jam di tangan. Pukul 10.00 pagi.Kini tangannya beralih ke saku kemejanya. Ada senyuman terukir di bibirnya. Kalau dapat ‘pekena’ teh tarik ni pun kira ‘okey’lah. Diusap perutnya yang sekali lagi memberi isyarat protes. 

Dikeluarkan dua keping not biru dari sakunya. “Alamak, seringgit..seringgit..dua ringgit je,”dengusnya kesal. Cukup-cukup buat tambang untuk dia pulang. Dibatalkan hasratnya untuk mengisi kelongsong perutnya yang asyik membentak. Mungkin kurang didikan dengan puasa. Barangkali…




Walau bagaimanapun, hatinya tidak mahu terus pulang. Rasa marah dan sesal atas kehilangan dompetnya tadi masih belum reda. Iyalah, redha dan sabar itu bukan boleh dipetik lalu dijamah, kemudian nah, langsung menjadi sabar! Dia perlukan masa untuk menerima ujian ini dengan redha. Mengikhlasi kepayahan yang Allah berikan. 

Dia berjalan menyelusur keluar laluan berbumbung di KTM Serdang itu. Ingin mengambil angin sambil melihat tingkah laku masyarakat kota. Menyesal pula dia kerana tidak membawa kamera DLSRnya. Jika tidak, dapat juga dia melaksnakan misi hobinya.


Peluh mula memercik dingin di dahinya. Lengan kemejanya dilekap ke dahi untuk mengelap peluh. Marahnya belum reda. Dia bersandar pada sebatang tiang. Fikirannya menerawang. Masih memikirkan betapa cekap umat manusia masa kini melakukan jenayah tanpa sedar. Tapi soal ibadah, banyak pula karenahnya. Matanya kemudian tetancap pada susuk seorang lelaki tua di hujung lorong. Wajahnya bungkam. Tangannya terketar-ketar ibarat berada di musim dingin di kutub utara.




Dalam ketar, tangannya menadah sebuah cawan plastik. Mengharap ada tangan yang sudi mengisi sesuatu yang bernilai ke dalamnya. Garis tua benar-benar kelihatan di setiap inci wajahnya yang melebihi separuh abad pada jangkaan Athif. Bajunya kusut masai. Tidak terurus. Di sebuah negara yang dikatakan sedang membangun, mengapa masih ada golongan yang fakir sehingga harus meminta-minta? Huh, bingung jika terus difikir. 



Semakin ramai manusia yang berkepuk poketnya, semakin ramai pula golongan yang perlu menagih simpati untuk sesuap nasi? Malah, ramai pula yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan disebabkan makan terlalu banyak. Bala apakah ini yang menyerang nafsu makan manusia sampai terlupa ramai yang masih lapar di luar sana?





 Dia mengeluarkan kembali dua keping wang seringgit dari kocek kemejanya. Diam seketika. Lama ditenung wang pada tangannya. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya saat ini. Kemudian, dia melangkah agak kalut. Matanya meliar sebelum langkahnya bertambah laju menuju ke satu tempat. Dua keping RM1, bertukar tangan. Dia kembali menuju ke arah si tua yang masih mengharap tadi. Kelihatan seorang wanita mengeluarkan syiling dari beg tangannya dan memasukkanya ke dalam cawan lelaki tua itu. Lelaki tua itu tunduk penuh hormat. Athif tersenyum sendiri. “Alahai syiling, beruntunglah engkau yang selalu setia menemani nasib si fakir. Kapan masanya si wang kertas bakal mengikuti langkahmu?” getus hati kecilnya. Dia lantas mendekati lelaki tua itu setelah wanita tadi berlalu.


Direndahkan tubuhnya, sedikit mencangkung, betul-betul di hadapan si tua itu. Dipegangnya tangan si tua itu yang amat dirasai oleh deria sentuhnya akan jalur kasar usia si tua itu. Sebuah bungkusan diserahkan kepada si tua. Sebungkus nasi lemak dengan modal RM1.20 dan secawan air mineral berharga RM0.80. Hatinya bagai ditusuk duri berbisa. Terkenang wajah ayahanda yang hampir seusia di kampung halaman. Allahuakbar..


“Pak Cik, saya belikan nasi. Pak Cik makan ya,”pujuk Athif. Wajah lelaki tua itu mula memancar. Tangannya rakus membuka bungkusan lantas Athif membantu. Ketika itu barulah dia sedar bahawa si tua itu juga buta. “Sungguh, mulianya dirimu seandainya dirimu sabar wahai saudaraku. Tambah beruntungnya dirimu yang diselamatkan olehNya daripada melihat dosa penduduk-penduduk dunia yang ‘gila’ dalam sedar. Aku sendiri, entah berapa banyak dosa yang telah kulihat sedang tangan dan mulutku kukunci rapat dengan keengganan untuk amar ma’ruf dan nahi mungkar.. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku..,”Athif bermonolog sendirian. Hampir rasa sebak menuntut air matanya akur dengan hukum graviti bumi. Namun disekanya awal. Dia tidak mahu untuk terus merenung lelaki tua itu. Dia mencucukkan straw pada permukaan plastik pada cawan air mineral yang dibelinya tadi sebelum berlalu pergi.




Dalam cepat dia menuju keluar dari lorong itu entah ke mana. Belum difikirnya lagi kerana wang untuk pulang sudah habis dia belanjakan. Hendak didail nombor teman serumahnya Fikri, dia pulang ke kampung. Mungkin nanti setelah perasaannya mula tenang, dia akan menelefon seseorang. Ketika itulah dia terserempak dengan rakannya, Aiman. Ya Allah, betapa rasa syukur itu ibarat menghujani sanubarinya. Dia menceritakan tentang musibah yang menimpanya tetapi merahsiakan tentang pemberiannya kepada lelaki tua tadi. “Jomlah, aku belanja kau makan, nanti kita sembang lagi panjang,” pelawa Aiman. 

Alhamdulillah, tidak tergambar rasa syukur di hati Athif saat itu. Berbekalkan hanya RM2, Allah mengirimkan kepadanya bantuan yang luar biasa. Yang tidak pernah mampu dihitung dan diramal oleh sehebat-hebat manusia yang dinobatkan hatta sebagai seorang Emiritus! 



Sekeping, sekeping RM1. Sampailah engkau ke langit ke tujuh. Sampaikan salamku kepada malaikatNya. AllahuAllah..



********************************************************


Subhanallah, saya meyakini bahawa rakyat Malaysia boleh dikategorikan sebagai masyarakat yang pemurah. Tidak lokek memberi. Di sana sini, suasana bersedekah masih lagi hidup. Alhamdulillah.. Namun, ayuh kita renungkan sejenak, berapa ramai yang tetap sedia menghulur walaupun dalam payah? Berapa ramai yang memilih nilai yang paling kecil untuk dijana sebagai pahala sedekah? Dan berapa ramai pula hanya ‘berkongsi’ dengan ‘lebihan’? Benar, ikhlas itu tidak diukur pada nilai, tapi pada niat. Walau bagaimanapun, harus kita ingat bahawa sifat ikhlas itu juga seharusnya menjadikan kita manusia yang tidak berkira.


Mungkin hal ini pernah berlaku pada kita dalam suasana yang berbeza. Saat seseorang memerlukan bantuan, adakah kita langsung menunaikannya tanpa ragu. Ataupun lebih banyak yang kita soal berbanding yang kita hulur? Mungkin kita lupa, Allah S.W.T Maha Memberi tanpa mengharap balasan walaupun segunung dosa yang kita longgokkan sebagai ‘mahar’ permintaan.


Memberi saat diri sendiri merasa memerlukan adalah sesuatu yang amat mendidik jiwa. Mudah-mudahan membenih rasa ikhlas untuk redha dengan kepayahan yang ada, malah berkongsi rasa perlu, dengan mendahulukan mereka yang lebih perlu. Sesungguhnya, kemenangan yang amat besar bagi seseorang mukmin andai hal ini dapat dilakukan. Kebergantungan dan meletak harap pada Allah S.W.T semata-mata. Melakukan amal ibadah semata-mata bagi mendapat keredhaan Allah S.W.T. Seperti mana sifat-sifat mahmudah yang lain, sifat ini tidak terbungkus sebagai hadiah kepada semua manusia. Adakala, sifat ini menembusi nurani setelah melalui proses didikan. 

Justeru, ikhlaskanlah pula kedua telapak tangan untuk meminta kepadaNya agar digolongkan sebagai hamba-hambaNya yang mukhlisin. Tiap kali kebaikan yang kita lakukan, mohonlah keampunan daripada Allah. Usah takut berbuat kebaikan kerana mulut-mulut dan mata-mata manusia yang sedikit pun tidak menggandakan pahala amal kita. Ayuh, berbuatlah dengan perasaan khuatir andai amal tidak diterima Allah.




Firman Allah S.W.T:


"Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia, dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa derajat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan." [Al-Zukhruf 43:32]






Ditulis untuk Majalah T-Zone PEMBINA Edisi 1
Moga Allah redha
[ Read More ]

#IM529

Bismillahirrahmanirrahim..


“Gerakan Ikhwan adalah dakwah salafiyah, thariqah sunniyah, haqiqah shufiyyah, lembaga politik, kelab sukan, lembaga ilmiah dan kebudayaan, agensi ekonomi dan pemikiran sosial.”(As Syahid Imam Hassan Al-Banna)

Al-Fatihah~


Saat manusia membanjiri dataran dengan lafaz-lafaz yang tidak haraki, saat manusia bercakaran dengan hal2 furu', saat para ulama' bertelagah dan mula kafir-mengkafiri, ummat yang jahil dihanyutkan dengan kelalaian yang tidak bernoktah.

Sedang bumi Mesir, terus bergolak..buat 529 pejuang Ikhwanul Muslimin yang terpilih. slodariti kami bersamamu. Semoga Allah merahmati perjuanganmu..dan membangkitkan kami dalam kalangan pejuang dalam saf-safmu.

Akhunna Dr Mursi bersama mujahidin IM yang ditahan T_T



Ya Ayyuhal Ikhwan,
Saat seluruh dunia memuntahkan fitnah 
Menyeringaikan taring-taring keji
Yang menyemburkan racun-racun yang membunuh

Andai sahaja redhaNya bukan matlamatmu
Andai sahaja syahid bukan idamanmu 
Andai sahaja syurga bukan destinasimu
Jiwamu, 
Tidak akan seteguh itu
Memadam memori suka duka di samping keluargamu
Menolak serakah jiwa untuk terus menghirup udara 
di permusafiran ini

Luar biasa benar iman yang kau genggam
Menjadi azimat yang meneguhkan kakimu
saat tali gantung menyeru-nyeru namamu
saat butir-butir peluru menembusi tubuh-tubuhmu
merobek-robek hingga hancur luluh jasadmu
darah segarmu menyimbah dataran tahrir
basah membanjir

Namun,
Syahadahmu menjadi lafaz yang menggetar
Menyuntik iltizam untuk terus mara
Biar seantero dunia membisu tanpa kata
Biar si kufur yang mengaku mukmin
tetap lena di sebalik selimut empuk mereka!
Aqidahmu tidak semudah itu
menjadi cagaran untuk si Zalim bertakhta
Sedang keadilan diinjak-injak tanpa ragu
Sedang syiar Tuhan disepak-sepak tanpa silu
Sedang kandil cahayamu ingin dipadam selamanya
Agar yang buta tetap buta
Agar yang gelap kekal gelita

Sungguh,
ajaib benar jiwa pejuang
Yang merindui mati di jalan Tuhan
sedang kebanyakan umat manusia
lebih cintakan hayat dan kehidupan
yang tidak pernah menjamin
membawa mereka ke jalan syurga..
maka tingallah mereka dengan usia yang sia-sia..

Saksikanlah wahai langit dan bumi
dan seluruh isinya
Perjuangan ini tidak akan pernah terhenti
Darah-darah yang mengalir
Jasad-jasad yang rebah
Tidak akan menguburkan perjuangan ini
Malah menjadi sumbu yang tetap menyala
Marak membakar dalam jiwa
pemuda pemudi tahajjud
yang merantai ingin pada dunia
dan mengintai himpunan abadi
di sisi Rasul yang mulia 


~Aisyah Al-Iftikhar~
2.00pm
Malaysia


 ISMA menghantar memorandum bantahan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan kepada 529 pejuang IM



video
 Syahadah Raba'ah oleh FETYA


[ Read More ]

Telunjuk di langit

 Bismillahirrahmanirrahim









Seisi dunia, seluruh semesta
Langit dan bumi 7 petala
Telah berabad menjadi saksi
Tangisan duka berepisod lagi
1 persatu tanah dijarah
1 persatu jasad merebah
Darah pekat mengalir basah
Tak pernah kering sentiasa meyimbah

Namun iman tak pernah goyah
Rela gugur pejuang aqidah
Pertahan hak dan juga maruah
Meyakini benar janji Allah
Islam pasti akan memerintah

Telunjuk di langit
Menjadi sumbu yg penuh ajaib
Membakar kobar
Menyemarak jiwa
Merebut gelar yg cukup mulia
Assyahid liajli hubbillah..

Senyum terukir diintai Firdausi

Aisyah Al-Iftikhar
28 Feb 2014


P/S: saat kita menangisi 'kehilangan' penumpang dan krew MH370, jiwa direntap rakus dengan pengumuman hukuman mati buat bakal syuhada Ikhwanul Mslimin. Firdausi milik kalian insyaAllah. Pray 4 IM529... T_T 


[ Read More ]

Alhamdulillah



Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah… Hari ini kita masih dibangkitkan oleh Allah S.W.T. Masih diberi peluang untuk menghirup tiap molekul udara kurnianNya. Oksigen itu meresap masuk ke dalam molekul darah dan beredar mengikut aturannya serta memberi manfaat kepada segenap inci tubuh manusia. Dan setiap anggota juga tidak canggung melaksanakan fungsi yang dimanahkan kepadanya  sebagai ibadah baginya pula. Sedar atau tidak, segala indera yang kita gunakan sehingga saat ini adalah percuma dan sedikit pun tidak dikenakan caj apatah lagi cukai tambahan. Justeru, seharusnya dan selayaknyalah manusia yang beriman itu merasa bersyukur dengan nikmat yang luar biasa ini.

Nikmat hidup

Dengan ini kita memperoleh peluang untuk menambah amal kebaikan malah memanfaatkannya untuk memohon ampunan kepada Allah S.W.T. Erti hidup bukan hanya terletak pada panjangnya umur, tapi pada barokahnya usia. Mereka ini adalah orang yang sentiasa memanfaatkan masanya untuk melakukan kebajikan dan perintahNya dan tidak merasa sesal pada masa-masa yang telah disiakan. 

Nikmat Hidayah dalam Islam

Dengannya kita merasa tenang dan gembira. Malah golongan yang yang diberi hidayah ini akan sentiasa merasa ghirah untuk mengejar kebaikan dan tetap dalam amal kebaikan. Hidayah inilah juga yang membenihkan rasa bahagia dan lapang dalam membuat pilihan. Sedangkan nikmat ini bisa ditarik oleh Allah S.W.T seandainya kita kufur. Bisa sahaja hari ini seorang ‘abid menjadi pemaksiat pada hari esoknya. Dan bisa sahaja seorang pendosa menjadi ulama’ pada keesokan harinya atas kehendakNya memberikan hidayah kepada umat manusia.

Nikmat Iman

Iman merupakan satu anugerah yang memancar ke dalam jiwa dan membenih seribu satu rasa yang membuatkan seorang hamba merasakan diriNya akur dan yakin di atas segala yang digariskan oleh syara’. Walau bagaimanapun, keyakinan ini tidak boleh dibungkus dan dihadiahkan oleh manusia walaupun dengan sebaik-baik bungkusan. Namun, keyakinan ini adalah anugerah yang mendatangkan satu ‘iktikad yang luar biasa sehingga melahirkan individu yang ‘ajaib’ dalam menanggapi kesusahan mahupun kesenangan.

La Tunsuha

Dan nikmat-nikmat Allah yang lainnya. Terlalu banyak hingga jika dihimpun jari seluruh umat manusia di muka bumi ini sekalipun, mustahil untuk menghitung dan mengangkakan jumlah nikmat dari Allah S.W.T. Malah, nikmat-nikmat ini hanya berhak diberi oleh Allah S.W.T dan tiada apa pun di dalam dunia ini dapat menggantikannya seperti mana sebaik-baiknya nikmat yang telah dikurniakanNya walaupun kita membelanjakan seisi dunia untuk mendapatkannya setelah kehilangan salah satu daripada nikmat kurnianNya. Justeru, manusia tidak pernah akan mampu menghitung jumlah dan besarnya nikmat itu. 

Hal ini dinaqalkan dalam Surah Ibarahim, ayat 32 hingga 34 yang bermaksud:

Allahlah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezki untukmu, dan Diayang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya juga  Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai.  dan Dia telah menundukkan (pula)bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbit nya)dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah,tidaklah dapat kamu menentukan bilangannya (La tuhsuha) .Sesungguhnya manusia itu,sangat zalim dan sangat mengingkari(nikmat Allah).

Walau bagaimanapun, hanya mereka yang punya rasa SYUKUR yang tahu bahawa nikmat itu amat sukar dihitung. Hal ini kerana, meraka yang bersyukur ini telah dianugerahkan mata dan jiwa yang tidak sama seperti manusia lain. Mata mereka bukan sahaja memandang dan jiwa mereka bukan sahaja menilai kebaikan itu sebagai nikmat, tetapi mereka memandang dan menilai UJIAN itu juga sebagai rezeki dan nikmat yang harus disyukuri.

Bagaimana untuk bersyukur?

Harus kita sedar, kita hanyalah manusia yang dicipta dari makhluk yang hina dan segala yang kita punya saat ini tidak layak kita punyai andai Dia tidak mengizinkannya. Tiada satu pun kejayaan atau kebanggaan yang kita miliki datang dengan usaha kita semata-mata melainkan nikmat itu dalah anugerah atas sifat Ihsan dan Rahim Allah S.W.T. Hadza Min ‘Indillah.. (semua ini datng dari sisi Allah).
Imam Al-Ghazali menjelaskan bahwa cara bersyukur kepada Allah S.W.T terdiri dari empat aspek, iaitu:

1. Syukur dengan Hati.

Syukur dengan hati dilakukan dengan menyedari sepenuhnya bahwa nikmat yang kita peroleh, baik besar, kecil, banyak maupun sedikit semata-mata kerana anugerah dan kemurahan Allah S.W.T

FirmanNya yang bermaksud:
“Segala nikmat yang ada pada kamu (berasal) dari Allah”. (An-Nahl: 53)
Syukur dengan hati dapat menjadikan seseorang untuk menerima anugerah dengan penuh kerelaan tanpa merungut dan merasa bera, biarpun hanya memperoleh sekecil-kecil nikmat. Syukur dari hati inilah yang akan menatijahkan kesedaran akan kemurahan dan kasih sayangNya sehingga terucap kalimat tsana' (pujian) kepada-Nya.

2. Syukur dengan Lisan.

Hati yang sangat yakin bahwa segala nikmat yang diperoleh dating hanya dari Allah S.W.T secara automatik akan mengucapkan “Alhamdulillah” (segala puji bagi Allah). Hal ini disebabkan hati yang bersyukur akan membuahkan lisan yang turut bersyukur. Sedang dia menyedari bahwa manusia hanyalah perantara dan hanya Allah yang paling berhak menerima segala pujian. Dialah Pemilik Segala Kebaikan.

3. Syukur dengan Perbuatan.

Syukur dengan perbuatan bererti menghargai dan memanfaatkan segala nikmat dan kebaikan yang diterima semata-mata di jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. Selain itu, kita haruslah memperbanyakkan ibadah soleh dan mendekatkan diri denganNya.
Orang yang kaya hendaknya membahagi hartanya dengan zakat, sedekah dan seumpamanya. Orang yang berilmu pula berkongsi ilmunya dengan mengajarkannya kepada sesama manusia, memberi nasihat, berdakwah dan sebagainya. Ini dalah sontoh bersyukur yang dizahirkan dalam bentuk perbuatan.

Allah S.W.T berfimran yang bermaksud:

“Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur)”
(Adh-Dhuha: 11).

4. Menjaga Nikmat dari Kerosakan.

Setelah memanfaatkan nikmat dengan sebaiknya, seharusnya kesyukuran itu menjadikan kita menjaga dan memelihara nikmat itu pula. Kita haruslah menyedari betapa mahalnya untuk memperoleh nikmat tersebut dan beriltizam untuk menjaganya dengan baik dan tidak bersikap lalai dengan nikmat tersebut.
Sebagai contoh, nikmat iman dan Islam. Kita haruslah menjaga nikmat ini daripada dilenyapkan daripada kita oleh Allah S.W.T dengan menghindari perkara-perkara yang melemahkan iman dan membawa kepada amalan yang menyebabkan riddah (murtad). Malah, nikmat ini harus terus dipupuk dengan amal-amal kebajikan.

Adapun rasa bersyukur ini perlu diminta dan dipupuk. Berdikit-dikit biarpun payah Namun, Allah melihat usaha kita. Justeru, ayuhlah sama-sama kita berusaha dan berdoa kepada Allah S.W.T agar menjadi golongan yang bersyukur kerana mereka yang bersyukur dijanjikan nikmat yang masyaAllah!! Lebih berlipat kali ganda.Mudah-mudahan saat ujian datang, kita tetap memperbanyakkan bersujud padaNya.




Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim:7)

p/s: Ana nak ambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah buat sahabat2 yang telah mendirikan masjid sepanjang cuti sekolah ini. Semoga rumah tangga kalian dilimpahi rahmah, sakinah wa mawaddah.. :)


Allahua'lam
[ Read More ]

Akhwat Qowiy

Bismillahirrahmanirrahim...


Qawiy (ﻗﻮﻱ)
Kuat. Bila bercakap tentang akhwat yang kuat ni, apa yang kalian gambarkan? Incredible Hulk yang boleh memecahkan dinding konkrit setebal 50 meter, atau superhero2 yang lain yang menjadi pujaan generasi kanak-kanak termasuk kita dolu3…

Tentu la tak kan…ke, ada jugak?

Mungkin yang berlegar di kepala adalah keupayaan memanjat gunung yang tinggi. Kemampuan meredah ombak laut dan kegagahan mengatasi segala cabaran fizikal yang ‘dihidangkan’ oleh JU Fizikal. Kan3?  (tak baik tipu..huhu)


Betul. Tiada yang salah tentang hal itu. Kebanyakan akhwat memang harus dinobatkan keqawiyan akan hal ni.

Namun, pinjamkan ana masa sejenak untuk membawa konsep qawiynya seorang ukht pada satu sudut yang berbeza pula.

Akhwat yang sebenar

Kalau difikir-fikir, apa ya peranan seorang ukht? Apakah hak-hak yang harus ditunaikan oleh seorang ukht? Apakah disiplin hidup seorang ukht?

Akhwatfillah,

Bujang kek, sudah berumah tangga kek (ambil aura Yoyoh Yusroh sket), kita punya peranan ‘asas’ yang hakikatnya sama.

1. Memasak

Sekurang-kurangnya 3 kali sehari (sarapan, makan tengah hari dan makan malam). Pendek kata, dapur haruslah sentiasa berasap. Sedap tidak sedap, special atau tidak..itu soal yang kedua. Namun, bagaimana kita mendisiplinkan diri untuk tetap memasak walaupun terpaksa bangun awal pagi, penat pulang dari bekerja mahupun terkejar-kejar untuk ‘attend’ program. Kalau, kita dapat laksanakannya dengan menidakkan kelelahan tubuh badan dan kekangan masa (tanpa mengganggu disiplin masa kerja atau hambatan yang lain), kita adalah akhwat yang qawiy. insyaAllah.



2.Mengemas rumah

Walau sesibuk manapun kita baik di tempat kerja mahupun di lapangan dakwah, sewajarnya hal ini tidak menjadi alasan buat kita untuk tidak mengendahkan hak penghuni yang lain mahupun diri sendiri untuk mempunyai ruang persekitaran yang selesa dan memberi ketenangan. Seandainya kita tidak mampu menyusun atur dan mengubah susun atur dengan kerap pun, sekurang-kurangnya usahlah membuat sepah.. Amalkan disiplin, basuh, simpan dan kemas setelah guna. Simpan setelah ambil dan letak barangan di tempat yang sepatutnya. Yang kotor di mana letaknya..yang bersih di mana letaknya… Mudah kan? Walaupun mungkin kawasan itu, bukan kawasan amanah buat kita..anggaplah kerjasama tu, amanah buat kita pula. Nah, qawiylah kalau mampu buat!


3.Mencuci, menjemur dan melipat pakaian

Walaupun kita mempunyai koleksi baju yang cukup 3 bulan dipakai pun, sewajarnya kita membiasakan diri untuk bergera membasuh pakaian apabila cukup ‘haul’ (aci tak guna? Hehe). Maksudnya, kalau dah penuh seraga tu, bawa-bawalah basuh.. dan jangn biarkan lama di jemuran.. cari ruang untuk lipat setelah diangkat.. kalau tak mampu habiskan, buat sedikit demi sedikit… dan simpan kemas-kemas di rak.. kalau kita mampu urus kerja ni dengan baik, insyaAllah..kita akhwat yang qawiy!


4.Menghias rumah

WoW! Macam habis rajin je kan bunyinya. Akhwatfillah, baiti jannati kan… Kalau ada masa lapang tu, apalah salahnya mengubah suai susun atur rumah sket.. tukar mood orang kata.. letak haruman… tapi janganlah kerap sangat.. Orang kata, kalau ada environment baharu, adalah semangat baharu.. lagipun, takdalah kelam kabut kalau orang nak mai rumah.. siap ada tagline ‘sentiasa terbuka, ahlan2’. Barulah mantop!! Qawiy, insyaAllah!





Semua pasal rumah je… Ladies betul…

Akhwatfillah, kita kan akhwat.. lapangan juang kita mungkin sedikit berbeza dengan ikhwah. Tak percaya? Tunggu saat dah berumah tangga nanti. Harus dibiasakan kok.. Kalau tak, akhwat akan hadapi tekanan dan mula berkeluh kesah bila dah mula ada anak2 untuk diuruskan nanti. Tanggung jawab seorang ukht lebih banyak di dalam rumahnya. Menjaga hal2 rumah tangganya dan membahagiakan seisi rumahnya. Nah, bila dah complete semua ni..barulah kita rasa tenang tanpa rasa bersalah nak kibar panji kat medan amal di luar sana..

Akhwat, kita tak maulah akhwat cakap berapi2 kat luar..tapi rumah tunggang langgang. Kita tak mau akhwat sekadar hebat mentajmik dan bawa usrah, tapi rumah tangga terabai. Namun, jangan lupa satu lagi disiplin yang penting yang menjamin qawiynya seorang akhwat iaitu hubungan dengan Allah S.W.T.

Siapa kita di malam hari

Kekuatan yang sebenar akan diperoleh apabila kita menjaga hubungan dengan Allah S.W.T.selayaknya dakwah ini dibawa oleh mereka2 yang menjadikan panggilan hamba, benar2 meresap dan menjadi ruh ke dalam jiwanya.

Kalau pun kita mampu mengaum sehingga menggentur 7 petala langit di kala siang hari, namun tewas dengan dengkuran hingga Subuh kala malam hari.. simpan sahaja taring dan kuku itu.

Akhwatfillah,

Apa yang kita cari di jalan dakwah ini, adalah redha Allah S.W.T.. bukan untuk disebut2 sebagai susuk yang hebat.. bukan untuk mengejar2 segala pangkat… tapi untuk dinobat sebagai pejuang akhirat hanya pada pandangan Allah S.W.T. Justeru, usahlah kesibukan2 kita di tempat kerja, di dalam rumah tangga apatah lagi di lapangan dakwah menjadikan kita beralasan untuk meraikan nafsu untuk tidak bangun berqiamulail di malam hari.. hakikatnya, inilah keqawiyan yang paling utama.. iaitu akhwat berupaya menambat kemas nafsu dan memadamkan kelelahan tanpa mengabaikan tanggung jawab dan hak Allah S.W.T, diri sendiri, Jemaah dan saudara yang lain.. 


Seandainya akhwat mampu menjaga mutabaah/ disiplin amal dengan baik..akhwat lebih layak digelar qawiy. Malah akhwat pasti mampu melakukan segala hal yang ana sebutkan di atas tanpa ragu dengan izin Allah.

Rumah Akhwat



Bagi bujangnians di luar sana, justeru kita harus sedar peri pentingnya kewujudan dan menghidupkan sebuah rumah akhwat dakwah. Di dalamnya bukan sahaja individu yang terbentuk subur dengan amal di lapangannya, terdidik disiplin rumah tangganya..malah subur imannya..

Rumah akhwat bukan semata2 ditubuhkan untuk menjadi tempat berbumbung akhwat2 bujang, nursery sementara anak2 ikh/akhwat yang dah berkahwin.. namun lebih dari itu.. di bawah bumbung itulah, kader2 yang qawiy terbentuk dan dibina. Menjadi madrasah tarbiyyah.. Maka tidak hairanlah jika rumah akhwat, ada pemantaunya… 

Adapun seisi rumah akhwat, hubungannya adalah hubungan keluarga. Perbualan, perbuatan dan perkongsian hal2 antaranya, adalah hal keluarga.. jangan bataskan dengan hubungan yang terlalu professional.. benar enggak? dan jangan juga disebabkan tuntutan kerja dan dakwah, kita lupa berukhuwah sesama ahli rumah tangga... :)

Sekadar renungan buat kita bersama yang hakikatnya lebih-lebih lagi ditujukan kepada diri sendiri.


Allahua’lam
[ Read More ]

GURU PENENTU SURVIVAL UMAT

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillahilladzi hadaana lihadza wama kunna linahtadiya laulaa an hadaanallah..

Alhamdulillah, baru sahaja selesai Seminar i-Guru Nasional yang menghimpunkan hampir keseluruhan warga pendidik ISMA di seluruh Malaysia. Program julung-julung kali ini turut melibatkan warga guru pelatih di IPG dan IPT.


Program ini jelas menunjukkan keseriusan pihak ISMA dalam menjaga kebajikan warga pendidik dalam kalangan ahli. Selain itu, program ini menunjukkan keprihatinan pihak ISMA yang memperakui bahawa guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam membentuk generasi soleh dan solehah bagi memperjuangkan dan mengamalkan Islam secara keseluruhan, insyaAllah.

Peserta diberi pendedahan akan situasi dan kekhuatiran perihal masalah sosial yang berlaku dalam kalangan pelajar. Malah, turut didedahkan usaha pihak kufar bagi meracuni pemikiran anak muda dan menjauhkan mereka dari agama. Justeru, peranan guru diiktiraf bagi membantu menangani masalah ini.

Selain itu, para peserta diberi peluang mendengar pengalaman ikhwah dan akhwat yang berjaya menjalankan misi dan visi tarbiyyah di sekolah tempat mereka bertugas. Ikhwah akhwat juga diberi suntikan semangat agar merasa izzah dengan amanah yang telah Allah berikan, dengan memanfaatkan segenap peluang yang ada sebaiknya. Meletakkan matlamat da'wah yang ingin dicapai di sekolah masing-masing menjadi bukti bahawa ikhwah dan akhwat sedar akan fungsi tarbiyyah yang diperoleh.

Tidak ketinggalan, ikhwah dan akhwat diberi ruang untuk mengutarakan permasalahan dalam membawa imej daie di sekolah masing-masing. masalah guru-guru di SJK turut diberi perhatian dan amat menyentuh hati penulis..


Semoga usaha murni warga i-Guru diberkati. Resolusi yang diutarakan haruslah kita sama-sama sepakati dan berusaha untuk mendukungnya dengan penuh iltizam.Tambahan pula, tuan presiden telah meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi akan kemampuan kita, warga pendidik yang ditarbiyyah.

Berbuatlah sesuatu atau kita akan menyesal saat dihadapkan di hadapan Allah kelak.


**************************************

Hujung minggu hadapan, insyaAllah akan berjaulah bersama anak-anak di SKS24 Shah Alam.. tenpat praktikum dulu. dah F1 dah mereka sekarang. Harap dapat terus sentuh hati mereka. Cuma, kali ni nampaknya ana kena lebih serius dalam mentajmi' dan memegang kemas pelajar murid di SJKC, tempat ana bertugas.

Demi ummat insyaAllah, ana datang!!!

Allahua'lam


 GURU PENENTU SURVIVAL UMAT

[ Read More ]

Kristianisasi

Bismillahirrahmanirrahim

Kalimah kesyukuran diucapkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah nikmat yang dikurniakan-Nya serta dengan taufik dan hidayah-Nya, kita masih mengecapi kemanisan iman sehingga ke hari ini. Nikmat Iman dan Islam inilah yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Esa bersama kemegahan yang dijanjikan oleh Allah subhanahu wa’ taala.

Sejarah telah mencatatkan bahawa kemegahan dan keagungan Islam mula dicarikkan sedikit demi sedikit bersama runtuhnya Daulah Islamiah Uthmaniyyah pada tahun 1942. Daulah yang diamanahkan untuk menjaga hak asasi manusia telah hancur lebur. Malah hari ini kita menyaksikan akidah yang menjadi benteng kekuatan umat Islam juga mula diruntuhkan setelah 74 tahun runtuhnya ad-Daulah al-Islamiah.

Mutakhir ini gejala murtad mula menyerang orang-orang Islam di Malaysia. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan yang terlibat ialah anak-anak yang kurang berpendidikan agama, walaupun tidak dinafikan sesetengah daripada mereka telah dibekalkan secangkiran ilmu agama, tetapi ia terlalu nipis untuk menjadi benteng serangan murtad. Setakat pemerhatian penulis, antara agama yang menjadi pilihan untuk dianuti oleh orang Melayu (murtad kepada agama lain) ialah Kristian, Hindu dan Buddha, di mana agama Kristian yang merupakan agama paling aktif berbanding dengan agama lain kerana ia melibatkan gerakan tersusun oleh misionaris antarabangsa, manakala mereka yang murtad kepada agama Hindu dan Buddha hanya melalui proses perkahwinan dan percintaan secara rambang. Gerakan Kristianisasi di Malaysia inilah yang merupakan fokus perbincangan artikel ini, Insya-Allah.

Sejarah telah menujukkan proses Kristianisasi ini telah mula bertapak di Tanah Melayu semenjak penjajahan Portugis 1511 Masehi lagi. Sekiranya kita melihat Kota Melaka kita akan dapati di sana terdapat banyak gereja-gereja yang dicat warna merah. Itulah tempat batu asas agama Kristian di Malaysia. Di dalam Kota Melaka terdapat satu kubur mendiang ketua paderi Melaka berdiri megah dalam A Famosa. Walau bagaimanapun proses Kristianisasi di Tanah Melayu kurang berjaya sehinggalah Malaya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 Masehi.

Kemerdekaan Malaya diharapkan dapat menghapuskan saki-baki gerakan tersebut. Tetapi peristiwa Natrah menggugat sentimen orang Melayu Islam. Sekali lagi maruah umat Islam tercabar. Peristiwa yang menjadi catatan sejarah penting umat Islam itu amat melukakan hati umat Islam.

Tetapi yang menyedihkan apabila kerajaan Malaya ketika itu tidak menjadikannya iktibar untuk memelihara kesucian akidah umat Islam Malaya. Hari ini kesan tersebut telah mula dirasai, generasi era kemerdekaan tidak dibekalkan pendinding iman yang kukuh, akidah Islam di tahap yang menyedihkan, budaya barat menjadi ikutan sesetengah golongan muda. Penulis juga mengenali beberapa orang Melayu yang mengaku dirinya Islam tetapi pulang awal pagi dalam keadaan mabuk. Kesannya, akidah umat Islam mula goyah.

Laporan Bernama yang dipetik dari majalah The Minaret terbitan Pusat Islam California mengatakan pendakwah Kristian menjadikan Malaysia di antara negara sasaran bagi satu gerakan dakyah yang dipanggil “Window 10/40″, kerana Malaysia salah satu negara yang terletak di antara garis lintang 10 dan 40 di peta dunia (sumber: Berita Harian, 4 Februari 1997). 


Malah di dalam sebuah laporan Utusan Malaysia bertarikh 3 Februari 1997, Jabatan Agama Islam Johor bersama-sama dengan Kementerian Dalam Negeri telah merampas 250 judul buku mengenai ajaran Kristian dalam bahasa Melayu. Buku-buku tersebut menggunakan judul seperti Kaabah, Wahyu Ilahi dan Mengenal Rasul. Sekali pandang kepada tajuk-tajuknya seolah-olahnya buku-buku agama Islam, inilah salah satu taktik mereka untuk cuba menarik minat orang-orang Islam untuk membaca buku-buku ini (sila rujuk gambar 1 & 2).



Gambar 1: Inilah buku-buku dakyah Kristian yang sedang beredar sekarang. Buku-buku ini ialah ‘Kepercayaan dan Amalan Orang Kristen’ oleh William Miller, ‘Kisah Al Masih’,iaitu ”riwayat hidup Isa” (a.s.) berdasarkan kitab Lukas dalam Kitab Perjanjian Baru (New Testament), ‘Circumcised Heart’ oleh Hilmy Nor dan ‘Freedom of Religion In Malaysia’ oleh Lee Min Choon. Dua buku terakhir telah diterbitkan oleh Kairos Research Centre

Gambar 2: Dua keratan Alkitab (Bibel), dari buku Keluaran (Exodus) fasal 3 dan dari buku ‘Yehezkiel’ (Ezekiel) fasal 2. Alkitab (Bible) ini menggunakan istilah-istilah Arab seperti “Allah” sebagai nama Tuhan, “imam” untuk paderi dan beberapa istilah lain seperti “nabi”, “malaikat” dan lain-lain lagi. Istilah-istilah ini sebenarnya boleh mengelirukan orang-orang Islam. Alkitab ini diterbitkan oleh ‘The Bible Society of Malaysia’ beralamat di No. 2, Jalan SS 20/10, Damansara Kim, 47400 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan 
Peristiwa Jamaluddin @ Jeshua Othman (1987) merupakan titik tolak kepada dakwah terang-terangan Kristian setelah sekian lama berselindung di sebalik dinding gereja. Dalam kes tersebut Jeshua telah mendakwa Menteri Dalam Negeri kerana telah menyumbatnya dalam ISA atas alasan menyebarkan dakyah Kristian. Sehingga tarikh dia diberkas, ramai anak Melayu yang telah berjaya dikristiankannya. Dalam dakwaan tersebut beliau menggunakan alasan undang-undang kebebasan beragama untuk melepaskan diri dari lokap ISA. Pemimpin Kristian Melayu tersebut akhirnya dibebaskan (sila rujuk gambar 3) .Pendakwah Kristian dibebebaskan atas nama kebebasan beragama setelah ramai anak Melayu yang gugur Islamnya? Itukah keadilan Malaysia, tanah air kita yang tercinta setelah kemerdekaan, itukah nilai kemerdekaan orang Melayu Islam? 

Gambar 3: Nama Jamaluddin Othman sebagai seorang murtad di dalam buku ‘Freedom of Religion In Malaysia’, halaman 42.
Belum habis dengan masalah Jeshua Othman, umat Islam di Malaysia dikejutkan pula dengan kes murtad Nor Aishah Bokhari, yang berkahwin lari dengan seorang pemuda bukan Islam (sila rujuk gambar 4). Berapa ramaikah wanita Islam yang murtad sebelum kes Nor Aishah Bokhari terpampang di muka depan suratkhabar tempatan? 



Gambar 4 : Nama Nor Aishah Bokhari sebagai seorang murtad di dalam buku ‘Freedom of Religion In Malaysia’, halaman 51.
Hari ini orang Melayu tidak lagi boleh berdiri megah menyatakan Melayu Islam. Sekarang bangsa Melayu tidak lagi agung di sisi Allah melainkan mereka yang beriktikad di jiwanya dengan dua kalimah syahadat. Kalau dulu seratus peratus Melayu adalah Islam, tetapi sekarang malulah rasanya kalau hendak bercakap begitu lagi.
Di sini penulis ingin mengajak pembaca merenung sepotong hadis Nabi s.a.w. Sabdanya:
“Akan terungkai ikatan Islam satu persatu, dimulai dengan gugurnya hukum perundangan Islam dan diakhiri dengan keguguran sembahyang.”
Setelah 74 tahun hukum perundangan Islam diporak-perandakan oleh tangan-tangan kafir, sekarang kita dapat melihat bilangan yang tidak sedikit umat Islam yang meninggalkan sembahyang, dan inilah antara faktor yang melebarkan lagi gejala murtad di Malaysia. Ulama Islam ada mengatakan bahawa perbezaan antara seorang Muslim dan seorangkafir dari segi amalanya ialah sembahyang. Jadi apakah bezanya di antara Muslim yang engkar sembahyang dengan yang kafir? Inilah perkara pertama yang umat Islam perlu fikirkan sebelum kita membicarakan cara-cara menyekat gejala murtad.
Sekiranya kita mengkaji Fiqh Perundangan Islam, kita akan dapati terdapat cara-cara khusus yang telah digariskan oleh Islam untuk menyekat gejala syirik dan murtad ini daripada melanda umat Islam. Tetapi sayangnya sistem perundangan Islam diketepikan sewenang-wenangnya oleh pemerintah sekarang.Sinar nur ataupun cahaya perundangan Islam dipadamkan terus daripada terus bersinar di mahkamah syariah. Orang-orang kafir menggunakan kesempatan daripada kelemahan perundangan mahkamah sivil untuk mempersenda dan memporak-perandakan umat Islam dan agama yang dianuti oleh mereka (sila rujuk gambar 5) . Firman Allah: 
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka tetapi Allah tetap menyempurnakan nur-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir.” (Surah Ash Saf: 8)


Gambar 5 : Akhbar gereja Katolik, “The Herald”, yang diterbitkan oleh Uskup Agung (Archbishop) Kuala Lumpur (setiap 2 minggu sekali) pada keluaran 4 Jun 2000 telah menyiarkan sedutan dari ceramah yang disampaikan oleh penulis buku Freedom of Religion in Malaysia, Lee Min Choon. Lee secara terang-terangan telah mencabar maruah dan sensitiviti umat Islam dalam ceramahnya.
Kita sebagai seorang Mulim sejati yakin bahawa suatu hari nanti nur Islam akan bersinar kembali di Malaysia. Oleh itu sesiapa yang mengaku dirinya Muslim wajib berjuang menegakkan kalimah Allah di bumi tercinta ini. Hanya dengan pengakuan Daulah Islamaiah dan sistem perundangan Islam sahaja yang akan dapat mengembalikan keagungan Melayu di Malaysia.
Ibu bapa yang berperanan sebagai pendidik pertama perlu membekalkan ilmu agama kepada anak-anak. Sekarang dengan kewujudan sekolah-sekolah agama sekurang-kurang dapat membantu merebaknya gejala murtad. Guru-guru agama di sekolah mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjelaskan keburukan murtad. Tetapi perlu diingatkan gerakan misionaris sekarang mula memasuki sekolah-sekolah agama. Oleh itu pihak sekolah perlu mengawasi pelajar-pelajar supaya berhati-hati dengan dakyah mereka. Menceritakan tentang murtad dari segi kaca mata Islam adalah salah satu cara awal menyekat gejala murtad dari meresap di sekolah-sekolah.
Apa yang penting dan perlu diingatkan di sini adalah setiap Muslim tanpa mengira warna kulit adalah bertanggungjawab memikul amanah amar makruf dan nahi munkar. Firman Allah Taala:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad:7) 
Semoga dengan membaca artikel ini, segala bukti mengenai gerakan Kristianisasi ini jelas dan mudah difahami oleh para pembaca dan dengan jalan ini, gejala murtad dapat disekat sebelum tertegaknya ad-Daulah al-Islamiah al-U’zmaa.
Sekian, wallahu a’lam.
Credit to: http://malay.bismikaallahuma.org/gerakan-kristianisasi-di-malaysia/



Hasni
Naib Presiden 2
PEMBINA

“Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Umurnya, ke manakah dihabiskan? Ilmunya, bagaimana dimanfaatkan? Hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” (HR Tirmizi).
[ Read More ]