Bernafaslah dalam molekul cintaNya, semoga pekat darah yang mengalir, dapat menjadi mahar bagi melamar redhaNya. insyaAllah..Kita hanya ingin hidup mulia atau mati syahid!!! Justeru, usah walang dek jajaan dunia!
”الواجبات كثير من الأوقات “
“Kewajipan-kewajipan lebih banyak daripada masa yang ada”

Yallah, Sertai Kami!!

Yallah, Sertai Kami!!

Menanti ar-rijal

-
a.k.a ﻧﻮرﻋﻴﻦ١ﻨﺘﺷﺍر


Bismillahirrahmanirrahim

Sore itu, tatkala dada langit dipisahkan antara jalur biru dengan sentuhan jingga…warga tua mula bersiap. Bercermin pada diri, dengan garis-garis halus yang mula menghias rupa. jauh mana lagikah kaki itu mampu melangkah? Mungkin esok atau lusa, kepada Tuhan dia kembali. Maka, berpusu-pusulah golongan seusia memenuhi saf-saf pertama di masjid. Sejadah dibentang dan diatur. Sahabat-sahabat yang baru tiba disapa mesra. Adakala, mata melirik beberapa saf yang masih kosong. Bukan kosong dengan jemaah, tapi…kosong dengan pemuda. Di luar, kedengaran hilai tawa generasi harapan sedang menunggang motosikal. Laungan mengesakan Allah, sedikit pun tidak membidik sedar. Masih tenggelam dengan keseronokan dan keasyikan berpasang-pasangan, sedang kroni-kroni syaitan sedang menari-nari dengan kealpaan mereka. Tinggallah mereka, yang langkahnya kian perlahan..hendak rukuk pun mengambil masa. Tapi kerana mata merekalah, sejadah-sejadah di masjid basah dengan air mata keinsafan.

******************************************************

 “Agama ini aku telah relakan untuk diri aku. Hanya orang-orang yang bersifat pemurah dan berakhlak mulia sahaja yang sesuai baginya. Oleh itu, selama kamu menjadi penganutnya hendaklah kamu muliakannya dengan sifat peribadi dan akhlak yang baik.” (H.R Al-Tabrany)

Lewat hari ini, semakin besar fitnah dan ujian yang terpalit pada umat Islam. Namun, berapa ramai yang peduli? Berapa ramai yang mengambil iktibar? Filem ‘Innocence of Muslims’ yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan umat Islam baru-baru ini, hakikatnya bukanlah yang pertama seumpamanya. Bezanya, kali ini musuh-musuh Islam lebih berani bermain dengan isu yang melibatkan sensitiviti umat Islam ini. Umat Islam telah jauh dari akhlak yang didasari Al-Quran dan As-sunnah.  Keadaan umat yang berpecah belah dan berantakan pula, menjadi bonus buat musuh-musuh Islam untuk menghenyak kedudukan Islam terperosok di kedudukan yang serendah-rendahnya. Apa yang mampu kita lakukan? Hanya menjadi “keyboard warrior” dengan komen-komen yang menampakkan rasa amarah dan geram dengan tindakan mereka?



Andai itulah sahaja batas kemampuan kita, ketahuilah Islam akan terus dihina. Tidak cukup lagikah kita menjauhi Islam dari kehidupan kita…? Terbuai dengan janji-janji dan mimpi-mimpi yang dicaturkan oleh musuh. Kitalah ummat yang  musaiyasah. Menjadi generasi yang hancur dan lebur jati diri sebagai individu Muslim. Lihatlah….lihatlah dengan pandangan yang menembusi mata hati. Usah terperangkap dengan fatamorgana! Bangkitlah dari tidur! Kelambumu itu sedang marak terbakar..dan engkau terperangkap kelemasan dengan keasyikan mimpi yang dilukis musuh. Di bahumu terletak masa depan umat! Dikaulah kunci sebuah kebangkitan!

Bukan bilahan pedang yang berkilau perlu kita capai. Bukan juga laras M-16 yang perlu kita galas. Cukuplah dengan menyucikan hati dan membina keakraban dengan Al-Khaliq. Sorotilah kehebatan perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, sehingga kita dimuliakan dengan nama Islam dan nilai-nilai Islam. Seandainya, baginda tidak berjuang hingga luka tubuhnya.. basah bumi ini dengan darahnya. Masakan kita mampu merasai nikmat Ar-Rahim hingga saat ini. sebagai seorang Islam yang hidup dengan limpahan rezeki di buminya sendiri. Sedang saudara-saudara kita di luar sana hebat diuji. Disusir dan menjadi fakir di negara sendiri.


 Kitalah rijal

Tiada hari esok untuk kita nantikan kebangkitan ini. kelengahan kita hanya akan membawa musibah kepada Islam. Keazaman dan iltizam yang tinggi harus dipasak utuh di sanubari. Kita berperanan dalam mencorak ketamadunan umat. Musuh-musuh Islam sedang membina kekuatan yang terus menerus untuk mematah riukkan setiap sendi kekuatan umat Islam. Namun, pastikan mereka hanya merencana sebuah fantasi. Realitinya, setiap jiwa pemuda dan pemudi telah bergabung atas dasar aqidah. Menggenturkan dada langit dengan derapan mujahid dan mujahidah muda. Kita sahut cabaran untuk berjuang. Usah takut dengan kecaman musuh yang hakikatnya juga adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT. Ujian yang kita tempuh dalam mencarikkan dakapan selimut musuh hanyalah sedikit berbanding umat yang terdahulu.

“Seorang (Mu’min) yang terdahulu dari kamu telah disiksa dengan sikat besi sehingga daging dan urat putihnya trercerai dari tulangnya tetapi perbuatan itu tidak pun menyebabkan dia meninggalkan agamanya. Orang lain pula digergaji kepala; walaupun demikian tetap tidak meninggalkan agamanya. Sesungguhnya Allah akan menzahirkan perkara ini, sehingga sesuatu rombongan yang berjalan dari san’a (ibu negeri Yaman) ke Hadramaut akan berjalan tanpa takut selain kepada Allah”. (H.R Bukhari)

Penuhi dada-dada kita dengan ilmu yang sentiasa mengalir. Jadikan rumah-rumah Allah sebagai singgahsana yang sentiasa dikunjungi. Manfaatkan setiap peluang yang terhidang untuk menjadi sebaik-baik khalifah sehingga mendebarkan musuh. Hatta sehingga kerlingan mata kita cuma mampu menjadikan musuh kita sekecil-kecil manusia. Tiada yang mustahil selagi hubungan yang dibina dengan Allah SWT adalah hubungan yang luar biasa. Kitalah generasi pewaris, penyambung legasi da’wah Muhammad s.a.w!! cantas kebongkakan musuh dengan akhlak!


Yakini, pelaburan yang kita lakukan ganjarannya syurga. Berbekalkan himmah ‘aliyah, kita seru seisi buana. segenap belikat bercantum rapat, sepuluh jemari  digenggam erat. Ada misi yang perlu dilaksana. Kekalkan jati diri yang telah berkurun lamanya terbina. Jadilah Al-Farouq milinium yang bakal mengusir kebatilan. Umar Al-Mukhtar yang cintakan bangsa dan tanah airnya. Kitalah generasi harapan!


Ditulis untuk PEMBINA Kuala Lumpur 



"Saat mentari menggulung kepekatan malam, senyuman kan terukir di wajah pengibar panji-panji Tuhan"








Leave a Reply